Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang….
Sedang melayang perasaan yang asyik tidak menentu saban hari, tiba-tiba terinsaf diri lalu terus menghitung-hitung dosa semalam.
Astaghfirullah..lalai sungguh diri ini.
Namun, Alhamdulillah, ALLAH lebih berkuasa.
Terima kasih wahai pencipta kerana ENGKAU alpakan daku hanya seketika.
Terima kasih atas hidayahMU yang sungguh bermakna, sungguhpun datangnya sedetik cuma .
Tanpa ada kesedaran yang sedetik itu,pasti diri akan terus menerus bergelumang dosa.Tidak perlu dikira-kira sama ada dosanya kecil mahupun besar. Andai yang kecil diabaikan pun, lama-lama membesar jua.Sia-sia saja.
Maka, memperhitung diri untuk semakin dekat padaNYA lebih membawa keuntungan.
Terfikir sejenak akan satu kebiasaan yang sudah semakin sebati dalam kalangan masyarakat kita. Tentang lancangnya lidah dalam mencanang cerita “kurang enak “perihal orang lain kepada mereka yang lain.
Kadang kala kita tidak sedar apa yang diperkatakan. Tetapi hakikatnya, dalam mainnya kita,bertarik–tali dalam mempertahankan ceritera-ceritera yang ingin disampaikan, ada cacat celanya bila difikir-fikirkan kembali.
Lagi-lagi,tatkala ada perkara yang tidak memuaskan hati dan jiwa. Pasti ada yang ingin dilepaskan, kononnya akan meringankan beban hati sedikit.
Bibit-bibit amalan ini kebiasaannya tercetus tatkala ada yang datang dan berkata begini :
“Aku bukan nak cakap ape ,tapi si polan dan si polan tu____________.”
“Aku bukan nak cakap ape ,tapi si polan dan si polan tu____________.”
Haaaaa… nanti individu seterusnya akan sambung dan menyambung-nyambung sehinggalah terciptanya satu cerita yang menarik dan menghiburkan. Walhal, si polan dan si polan tu, hanya tersilap sedikit saja.
Tapi, cerita mereka dicanang menjadi skrip drama yang sangat dramatis dan “bombastic”.
Cuba sama-sama kita fikirkan andai kata, nama yang dicanang adalah diri kita sendiri.
Andai yang dicanang-canangkan bak roti canai tu, semuanya yang baik-baik, tentu sejuk hati dan halwa telinga bila didengar. Bagaimana pula jika sebaliknya?Mahunya nanti ada yang mengamuk-ngamuk tak tentu pasal.
Habis nanti segala laman social dimanfaatkan untuk mencemuh dan memuntahkan cacian.
Nauzubillah…
Firman Allah taala :
“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka(sesama muslim)kerana sebahagian buruk sangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang serta jangan pula sebahagian kamu mengumpat yang lain.”
(Surah Al-Hujurat :12)
Imam Ghazali r.h mengatakan bahawa mengumpat terbahagi kepada 11 jenis.Lapan daripadanya terjadi disebabkan :
@ untuk meredakan kemarahan
@ digemari dan sesuai dengan seseorang
@ terdapat kesaksian terhadap umpatannya dan melepaskannya
@ untuk menafikan tindakannya terhadap orang lain
@ untuk berbangga diri
@ hasad dengki
@ sekadar bergurau senda dan menghabiskan masa lapang dengan ketawa yang sia-sia
@ untuk menghina dan mempermainkan orang lain
Manakala tiga punca umpatan dalam kalangan para ulama dan orang khusus ialah :
@ taksub menentang kemungkaran dan kesalahan pada agama
@ berduka cita kerana bencana yang menimpa seseorang
@ marah kerana ALLAH S.W.T.
Sungguhpun begitu, ada beberapa situasi yang membenarkan kita untuk mengumpat. Sebagai contoh, Imam Ghazali ada menyatakan :
@ dalam penganiayaan dan kezaliman
@ meminta bantuan untuk mengubah kejahatan kepada kebaikan
@ meminta fatwa tentang hukam hakam agama
@ menakutkan orang muslim daripada melakukan kemungkaran dan kejahatan
@ memanggil atau menamakan seseorang mengikut gelaran tertentu yang biasa digunakannya
@ melihat seseorang yang menampakkan kefasikannya
Oleh yang demikian, berhikmahlah kita tatkala ingin menimbangtara cerita yang ingin dibualkan bersama para sahabat.Takut-takut, ada pula yang yang terlepas cakap.
Sesungguhnya, Allah maha mendengar lagi maha mengetahui.
Firman Allah taala dalam surah Al-Ahzab ayat 58 :
Maksudnya: “Orang yang menyakiti mikmin lelaki dan perempuan dengan sesuatu yang tidak dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
Sekadar mengingatkan diri dan perkongsian bersama…InsyaAllah.
Wallahualam…
No comments:
Post a Comment